Thursday 30 May 2013

Peniaga dakwa dicabul doktor

Ipoh: Seorang ahli perniagaan mendakwa dicabul oleh seorang doktor berusia 60-an ketika berkunjung ke sebuah poliklinik di Simpang Pulai, di sini, minggu lalu.

Mangsa yang berusia 49 tahun dari Lapangan Panorama Perdana, di sini, mendakwa dipeluk dan diraba oleh doktor yang dikenalinya sejak 20 tahun lalu, kira-kira jam 11.30 pagi.
Wanita itu pergi ke poliklinik berkenaan kerana membawa lapan pekerja warga asing kelolaannya untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.


Selepas membuat pendaftaran, dia diminta doktor terbabit ke tingkat atas poliklinik itu dan masuk ke bilik x-ray dengan alasan mahu menunjukkan sesuatu.

Saya menurut permintaan itu dan sebaik masuk bilik berkenaan, dia terus memeluk saya dari belakang dan menolak saya ke dinding dengan memegang kuat kedua-dua tangan saya, katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Meronta, bergelut untuk lepaskan diri

Ahli perniagaan itu mendakwa doktor terbabit juga cuba memasukkan tangan ke dalam bajunya mengakibatkan dia meronta untuk melepaskan diri sehingga berlaku pergelutan kecil sebelum berjaya keluar dari bilik berkenaan.
Berikutan kejadian itu, dia membuat laporan di Balai Polis Simpang Pulai, Isnin lalu.

Saya terpaksa mengambil masa beberapa hari untuk membuat laporan polis kerana trauma dengan kejadian itu, katanya yang berharap doktor itu dihadapkan ke muka pengadilan dalam tempoh terdekat.

Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan menerima laporan berkenaan dan kes sedang disiasat.

No comments:

Post a Comment